Pelakon dan ahli kumpulan Forteen, Izzue Islam atau nama sebenarnya Muhammad Izzue Islam Mazlan telah mengesahkan bakal bernikah bersama teman wanitanya pada 2 Jun ini. Majlis pernikahan dan persandingan yang bakal berlangsung serentak dalam satu hari yang sama  itu bakal menyaksikan penyatuan dua hati antara Izzue bersama kekasihnya yang juga merangkap pengurus iaitu Awin Nurin.
Tarikh istimewa pernikahannya itu sebenarnya jatuh pada tarikh lahirnya yang ke 24 tahun. Menidakkan dakwaan kononnya dia berbohong sebelum ini kerana menyembunyikan kisah cintanya, Izzue yang berasal dari Kelantan ini mempunyai pendiriannya sendiri.
"Ketika gosip itu tersebar, saya tidak mengiyakan dan menidakkan kerana ketika itu semuanya masih belum pasti dan apabila kami sama-sama mengambil keputusan untuk bernikah, barulah saya mula bercerita".
Berharap agar peminat terus menyokong kerjaya seninya,  Izzue yang juga pelakon bagi filem 'King Kapcai', 'Chikaro' dan '29 Februari' ini tidak sesekali memandang perkahwinan di usia muda ini sebagai penghalang kepada karier seninya.