“Ibu, Saya Akan Pergi Jauh” – Arwah Shafik

KUALA TERENGGANU : “Ibu, saya akan pergi jauh” – itulah ungkapan terakhir pelumba basikal pelapis Terengganu Mohd Shafik Imran Syahril, 15, kepada ibunya sebelum keluar rumah pagi tadi bagi memulakan rutin latihan harian.

Tuan Jarah Kamariah Tuan Ahmad, 40, tidak menyangka itu adalah petanda anak sulung daripada dua beradik itu bakal meninggalkan mereka sekeluarga buat selamanya.

Beliau berkata sebelum kejadian, Mohd Shafik tidak menunjukkan perubahan pelik dan sempat meminta wang saku untuk bersarapan bersama rakan.

Malah sebelum meninggalkan rumah, Allahyarham sempat bergurau dengan menyatakan akan pergi jauh kepadanya.

“Saya menganggap itu hanya gurauan kerana arwah sememangnya suka bergurau dan saya ingatkan latihan arwah pada hari ini mungkin lebih jauh berbanding biasa kerana beliau berkata demikian.

“Namun sangkaan itu meleset setelah saya menerima panggilan telefon daripada rakan yang memaklumkan anak saya terlibat dalam kemalangan semasa latihan,” katanya kepada pemberita di Rumah Mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini.

Tuan Jarah Kamariah berkata beliau bergegas ke hospital dan dimaklumkan anaknya meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah di bahagian pinggang ke bawah.

Beliau berkata setiap kali jika menyertai kejohanan, pelajar Tingkatan 3 Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Negara itu berkobar-kobar ingin menang.

“Arwah akan menyertai kejohanan di Perlis pada 22 Jun ini dan memberitahu ingin menang apabila diberi peluang untuk beraksi dalam kejohanan itu,” katanya. – BERNAMA