Wana Wonderland: Ombak Kuat Setinggi 3.5 Meter Melanda Pulau Pinang.

Ombak Kuat Setinggi 3.5 Meter Melanda Pulau Pinang.



Kawasan Padang Kota Lama dilanda ombak kuat yang mencapai ketinggian 3.5 meter sehingga air laut melimpah ke ruang pejalan kaki dan membasahi bahagian tempat letak kereta di bahu jalan hari ini.

Pengarah Pusat Ramalan Cuaca Jabatan Meteorologi, Muhammad Helmi Abdullah berkata keadaan ombak dipengaruhi angin kuat yang bertiup dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam serta peralihan angin monsun Barat Daya yang diramal berterusan sehingga 15 Jun ini.

"Keadaan laut agak bergelora pada ketika ini. Walaupun masih pada kategori pertama, nelayan dinasihati supaya tidak turun ke laut sehingga keadaan reda,"katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.


Beliau berkata arahan telah dikeluarkan kepada pelaut di sekitar negeri sebelah utara termasuk Kedah dan Perlis agar tidak keluar ke laut sehingga keadaan itu berakhir.

Seorang nelayan di Pantai Tanjong Bungah Salleh Ahmad, 42, berkata dia dan rakan-rakan tidak berani pergi ke tengah laut dan hanya berani menangkap ikan di persisiran pantai sejak beberapa hari lepas.


"Kami tidak berani pergi jauh untuk menangkap ikan kerana takut angin kuat dan ombak tiba-tiba mai (datang). Keadaan cuaca juga tidak menentu dan hujan lebat sudah beberapa hari turun di kawasan ini," katanya.


Namun begitu , kejadian ini membawa rezeki kepada seorang pemancing di Padang Kota Lama, Tan Ah Wah, 32,  kerana ikan lebih mudah diperoleh akibat dihanyut arus kuat.

"Ikan-ikan kecil terutamanya akan berenang tidak menentu dan akan terperangkap di benteng di Padang Kota Lama. Selain boleh berkumpul dengan kawan sambil memancing dapat pula tangkap banyak ikan dan tak perlu beli lagi," katanya.

1 comment :

Mime MF said...

mak aihhh...dasyatnyer ombak....

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...